Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) yang dicadangkan untuk menukar nama jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier' dilakukan bagi meletakkan Sarawak dalam persepektif berbeza dengan negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia kerana dalam beberapa tahun selepas pembentukan Malaysia, kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi semakin menyusut dan kini setaraf dengan negeri lain dalam Tanah Melayu.

Menurutnya, masanya sudah tiba untuk mengembalikan kedudukan Sarawak sebagai rakan kongsi seperti yang termaktub dalam pembentukan Malaysia.

"Kita tentunya tidak mahu setaraf dengan negeri seperti Pulau pinang dan Melaka kerana ketika Sarawak serta Sabah bersama membentuk Malaysia, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu diwakili oleh Persekutuan Tanah Melayu," katanya ketika ditemui media selepas majlis Angkah Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang akan dibentangkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok bagi meminda Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak untuk menggantikan nama jawatan Ketua Menteri dengan 'Premier'.

Mengenai terjemahan sesuai untuk bahasa Melayu bagi istilah `Premier' itu, Abdul Karim berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memberikan perkataan yang tepat dan bersesuaian.

"Namun, saya percaya bahawa istilah 'Premier' itu sudah cukup baik untuk digunakan di dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris untuk jawatan nombor satu di Sarawak itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada pertukaran nama jawatan itu akan menunjukkan lebih banyak autonomi akan diusahakan untuk Sarawak, Abdul Karim berkata, itulah yang diperjuangkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Inilah yang kita tunggu-tunggu dan sebab itu kami pergi ke London untuk mengkaji Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta beberapa perkara berkaitan.

"Kita tahu bahawa terdapat beberapa hak yang terhakis dan ini adalah sebahagian daripada perkara kecil yang kami cuba untuk dapatkan semula secara perlahan-lahan," katanya sambil memaklumkan kerajaan GPS tidak bermaksud memberi tekanan kepada Putrajaya, sebaliknya hanya memperhalusi perkara yang sepatutnya menjadi hak Sarawak dalam penubuhan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 5:29 PM