Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kehidupan lebih 2,000 penduduk Taman Sri Bayu 2, Bedong, di sini, terjejas apabila sering mengalami masalah bekalan air terputus sejak tiga tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menghabiskan ribuan ringgit setiap bulan bagi membeli air botol, mencuci pakaian di pusat dobi serta makan dan minum di kedai.

Penduduk, Marina Ramli, 49, berkata dia terpaksa mengeluarkan belanja RM600 sebulan untuk mencuci pakaian di dobi serta RM70 sehari untuk membeli makanan dan minuman di kedai.

"Empat anak dan tiga cucu tinggal bersama saya di rumah, tetapi Syarikat Air Darul Aman (Sada) hanya hantar bekalan air setiap dua hari, kadang-kadang tengah malam baharu lori datang hantar.

"Ramai penduduk terpaksa beli tong air untuk simpan bekalan air dihantar Sada, namun ia tidak cukup. Jadi kami terpaksa cuci pakaian di dobi dan beli makanan serta air di luar.

"Saya turut jaga cucu orang kurang upaya (OKU), jadi apabila bekalan air terputus, saya terpaksa beli air tambahan untuk kegunaan dia di waktu kecemasan," kata ibu kepada enam anak itu.

Pesara tentera, Zulkifli Mohd Mursalin, 54, berkata, masalah bekalan air di taman itu semakin serius pada 2019 apabila gangguan berlaku beberapa kali dalam sebulan.

"Kini sudah hampir dua bulan bekalan air tiada, banyak aktiviti penduduk terjejas, hendak mandi pun susah apatah lagi sekiranya berlaku kematian di rumah.

"Kami perlu ikhtiar untuk kumpul air untuk mandikan jenazah, sekiranya meninggal dunia di hospital, kami minta pihak hospital mandikan jenazah di hospital," katanya.

Zulkifli memaklumkan, salah seorang penduduk di taman itu terpaksa membatalkan majlis perkahwinan anaknya yang dijadual berlangsung baru-baru ini, akibat tiada bekalan air.

Katanya, ramai penduduk terpaksa pergi ke rumah saudara mara untuk mandi dan ada yang bercadang menjual rumah di taman itu kerana tidak tahan dengan masalah bekalan air.

Seorang lagi penduduk, Haslinda Hamdan, 41, berkata biarpun tidak menerima bekalan, dia tetap perlu membayar bil air sebanyak RM50 sebulan.

"Kami sangat berharap Sada dapat lebih kerap hantar air ke kawasan ini dan mereka perlu tambah lori dan pekerja. Kami faham lori yang ada terhad, sebab itu mereka hantar air tengah malam selepas pergi ke beberapa kawasan lain terlebih dahulu.

"Tangki besar disediakan pemaju perumahan ada, tetapi seperti tidak berfungsi. Pihak pemaju dan Sada seolah-olah tuding jari antara satu sama lain, kami merayu tolong hantar air lebih kerap," katanya yang 15 tahun tinggal di taman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 3:56 PM
Zulkifli Mohd Mursalin, 54,menunjukkan bekalan air yang terputus di rumahnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Zulkifli Mohd Mursalin, 54,menunjukkan bekalan air yang terputus di rumahnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman