Pasukan perubatan menunggu untuk membawa mangsa ke HEBHK selepas disahkan meninggal dunia di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian di Kluang, semalam. Foto Ihsan Pembaca
Pasukan perubatan menunggu untuk membawa mangsa ke HEBHK selepas disahkan meninggal dunia di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian di Kluang, semalam. Foto Ihsan Pembaca
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Pemuda mengadu sakit dada dan sukar bernafas sebelum meninggal dunia ketika berada di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa sempat mengadukan hal berkenaan kepada rakannya dalam kejadian pada 7.20 malam itu.

"Semalam, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima satu laporan melalui panggilan kecemasan MERS 999 pada 7.50 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian, Kluang.

"Bertindak atas maklumat, Ketua Polis Balai Kluang bersama tiga anggota pergi ke tempat kejadian.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, si mati seorang Ielaki warga tempatan rebah dan tidak sedarkan diri ketika sampai di kerusi yang disediakan di kawasan rekreasi.

"Rakannya sebelum itu memaklumkan mangsa beberapa kali mengakui sakit di bahagian dada namun tidak pasti sama ada si mati ada membuat rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap mangsa tiada menunjukkan berlakunya sebarang unsur jenayah atau khianat.

"Pegawai Perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang hadir membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Mayatnya dibawa ke HEBHK Kluang dan diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 077784222 atau 077784256," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:46 PM