ANTARA enjin bot jenis Outboard Motors yang dibeli Kementerian Pertahanan.  FOTO FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN
ANTARA enjin bot jenis Outboard Motors yang dibeli Kementerian Pertahanan. FOTO FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN
Siti Haliza Yusop


Kuala Lumpur: Pembelian kecemasan 55 unit enjin bot jenis Outboard Motors (OBM) atau enjin bot oleh Kementerian Pertahanan akan mengukuhkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, melalui hantaran di Facebook berkata, enjin bot itu juga akan digunakan bagi meningkatkan keupayaan operasi di kawasan yang masih berdepan dengan banjir.

"Semua 55 unit enjin bot baru itu sudah sampai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ATM bagi meningkatkan keupayaan operasi, memindahkan mangsa banjir serta menghantar makanan dan barang keperluan di kawasan yang banjirnya masih belum surut.

"Pembelian itu juga dibuat bagi menampung penggunaan enjin bot sedia ada ATM yang digunakan tanpa henti sejak hari pertama banjir melanda," katanya.

Hishamuddin dalam kenyataan media Ahad lalu berkata, Kementerian Kewangan meluluskan pembelian kecemasan itu untuk kegunaan ATM.

"Saya menerima laporan berhubung situasi yang mana bot ATM terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan yang terjejas.

"Susulan itu, MINDEF berhubung secara terus dengan Kementerian Kewangan bagi membuat pembelian kecemasan 55 unit mesin bot itu dan Alhamdulillah, permohonan ini diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 2:13 PM