GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri menyuntik pelbagai inisiatif untuk memperkasa pembangunan orang muda menerusi Belanjawan Johor 2022 yang bakal dimanfaatkan 1.6 juta belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, suntikan itu berkaitan sukan, kecergasan, sosial, kesenian, kepimpinan dan kemasyarakatan.

Katanya, di bawah Agenda Orang Muda Johor, hub aktiviti belia, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) akan diperluaskan ke daerah Kluang, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Gym Rakyat pada tahun depan.

"Selain itu, RM1.5 juta diperuntukkan menerusi Institusi Dato' Onn (IDO) untuk terus memperkasakan potensi Orang Muda Johor sebagai One Stop Centre for Youth.

"Kerajaan negeri juga komited memperkasa peranan Southern Volunteers Johor Youth Development Centre (JOYDEC) melalui Peruntukan sebanyak RM1 juta," katanya ketika berucap pada Festival Orang Muda Johor 2021 (OMJ Fest 21) yang dirasmikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di TMIYC Johor Bahru, di sini, hari ini.

Festival Orang Muda Johor 2021 (OMJ Fest 21) akan diadakan di 10 daerah di semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan lebih 80 program bermanfaat untuk belia.

Menurut Hasni, pelbagai inisiatif berteraskan sukan menerusi pembabitan atlet dan masyarakat juga akan dijalankan dengan peruntukan RM14.5 juta.

Antaranya, Program GRIT Johor 2030, program pembangunan bakat oleh Majilis Sukan Negeri Johor (MSNJ), dan Karnival Sukan Makmur XTIF Johor.

"Kerajaan Negeri juga komited untuk membantu mahasiswa melalui program Internet Mahasiswa Johor, Skim Bantuan Pendidikan, pinjaman pelajaran, Program Johor Upskilling & Reskilling, Latihan Lepasan Siswazah Johor, Johor Skills Oil & Gas dan Pensijilan Tenaga Mahir Johor.

"Semangat perpaduan dan kenegaraan dalam kalangan modal insan Johor akan diberi tumpuan dalam inisiatif berkaitan Pemerkasaan Rukun Tetangga, Generasi Muda dan Perpaduan Kaum dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:38 PM