ABDUL Hadi (kiri) kelihatan bercakap sesuatu dengan Takiyuddin pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67. FOTO Ghazali Kori.
ABDUL Hadi (kiri) kelihatan bercakap sesuatu dengan Takiyuddin pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pas sentiasa diberi peranan sebagai pendamai untuk menyatupadukan parti-parti politik yang bermasalah.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, latar belakang parti yang bertemakan Islam sering kali menjadi rujukan parti politik yang lain apabila berlaku pertelagahan yang memerlukan kepada usaha pendamaian.

"Bila Umno dalam keadaan lemah mengajak Pas menyertai kerajaan campuran, 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN), Umno sanggup 'lempar' simbol kapal layar, kita (Pas) tinggal (simbol) bulan dan pakai simbol dacing sama-sama (dan) BN menang besar (pada PRU) 1974," katanya dalam ucapan penangguhan Presiden pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengajak ahlinya mengenang jerit perih Pas dalam perjuangan politik selama ini sehingga hari ini berjaya menyertai Kerajaan Persekutuan.

"Pas tidak pernah gagal melalui pasang surut pilihan raya, rebah bangun kerajaan memerintah, dikacau luar dan dalam, dikacau dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), peristiwa Memali serta berlaku krisis dalaman (namun) Pas tidak rebah.

"Pernah juga berlaku krisis dalaman PAS… berlaku serpihan (tetapi) tidak menghancurkan. Laksana satu dahan dicantas, 10 tunas tumbuh lain," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak mahu meletakkan calon 'pacak' sebaliknya akan meletakkan calon yang mempunyai potensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keupayaan calon itu untuk memenangi pilihan raya harus diberi keutamaan walaupun terdapat wakil daripada sayap-sayap parti menyeru pimpinan memilih calon daripada kalangan mereka.

"Saya dengar dewan-dewan ini banyak minta kerusi hendak bertanding pilihan raya, memang kita hendak suruh bertanding pilihan raya, tapi kita hendak letak calon yang mesti lah calon yang menang, bukan calon yang pacak-pacak tinggal ikut suka kamu lah hendak menang atau kalah, asalkan contohnya Dewan Muslimat atau Dewan Himpunan.

"Kita letak calon untuk menang dan berperanan. Kita tahu banyak calon kita yang berperanan, ada (dalam) kalangan ulama, profesional dan pemimpin masyarakat," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya hari ini berkata, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal sebagai Setiausaha Agung Pas dan bekas Naib Presiden parti kekal, Datuk Iskandar Abd Samad sebagai Bendahari.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan peruntukan Fasal 25 (4), dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut mengekalkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:17 PM