MOHD Shahril. FOTO Nuraliawati Sabri.
MOHD Shahril. FOTO Nuraliawati Sabri.
Amir Mamat


Melaka: Semua maklumat yang diperoleh daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berhubung dakwaannya berkaitan isu royalti pasir sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad berkata, jawatankuasa peringkat tertinggi di ibu pejabat SPRM itu akan menilai, menganalisis serta memperincikan semua maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh mengesahkan sama ada siasatan berhubung dakwaan itu sudah dijalankan atau sebaliknya.

"SPRM Melaka hanya membantu untuk mendapatkan maklumat daripada Datuk Seri Idris dan sudah pun diserahkan kepada ibu pejabat untuk dinilai oleh jawatankuasa terbabit.

"Saya pun tidak menerima sebarang arahan (untuk melakukan tindakan lanjut), cuma saya boleh katakan, maklumat yang diambil sudah dihantar ke ibu pejabat dan dinilai oleh JMM di peringkat ibu pejabat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, Mohd Shahril mengesahkan SPRM sudah mengambil beberapa maklumat secara lisan dan melihat dokumen berkaitan isu royalti pasir daripada Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang.

Pertemuan selama kira-kira dua jam bermula 3 petang itu dibuat di sebuah lokasi di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:03 PM