MUHAMAD Rafi  dan isteri, Marina Ahmad  bersama anak-anak mereka memakai tanjak berkonsep merdeka.FOTO Ghazali Kori
MUHAMAD Rafi dan isteri, Marina Ahmad bersama anak-anak mereka memakai tanjak berkonsep merdeka.FOTO Ghazali Kori
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Pemakaian tanjak yang turut dikenali sebagai tengkolok atau destar biasanya dikaitkan dengan golongan istana dan kepahlawanan selain digayakan dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu.

Ia turut digayakan bersama baju Melayu dan dipadankan dengan bengkung, samping berserta keris selit.

Dahulunya tanjak dijadikan sebagai identiti diri kerana daripada gubahannya, masyarakat dapat mengetahui status, pangkat, asal usul dan keturunan pemakai.

Namun, kini tanjak sudah dikomersialkan dan dijadikan antara busana yang menjadi pelengkap gaya si jejaka.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, pemilik Tamra Warisa, Muhamad Rafi Kori menampilkan rekaan tanjak unik bercirikan bendera Malaysia.

Menurut Muhamad Rafi, ia digubah oleh penggubah tanjak tradisional Terengganu dan dipasarkan Tamra Warisa bersama produk lain seperti capal serta batik lepas.

"Istimewanya mengenai tanjak ini, ia digubah daripada fabrik nilon dengan cetakan elemen bendera Malaysia untuk penampilan yang lebih kontemporari.

"Tanjak istimewa ini disediakan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini," katanya kepada Harian Metro.

Pendaki negara yang berjaya menawan Gunung Everest pada Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2007 itu mengakui tanjak kini semakin menjadi pilihan anak muda untuk digayakan dengan pelbagai fesyen moden termasuk seluar denim.

DARI kiri. Muhammaf Faris, Muhammad Amrin, Muhammaf Al Fateh dan Muhammad Alif, ceria memakai tanjak berkonsep Jalur Gemilang.
DARI kiri. Muhammaf Faris, Muhammad Amrin, Muhammaf Al Fateh dan Muhammad Alif, ceria memakai tanjak berkonsep Jalur Gemilang.

Malah, Muhamad Rafi mengakui kesedaran golongan muda untuk memakai tanjak juga semakin meningkat dan harganya bukan lagi 'harga kayangan.'

"Sebelum ini, harga tanjak agak mahal kerana menggunakan songket tenun, tetapi kini materialnya sudah dikomersialkan. Ada yang menggunakan pelbagai jenis fabrik dan ada yang menggunakan songket kilang.

"Penggubah tanjak juga semakin ramai, jadi harganya sudah berpatutan dan mampu dimiliki pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Jelas Muhamad Rafi lagi, ibu bapa juga semakin ramai memperkenalkan pemakaian tanjak kepada anak kecil mereka dan ia perkembangan yang positif untuk memartabatkan kembali busana tradisional masyarakat Melayu.

Selain itu, banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pejabat kerajaan yang memilih tanjak sebagai cenderahati korporat mereka.

Ia sekali gus membantu ekonomi penggubah tanjak yang kebanyakannya menghasilkan secara kecil-kecilan dari rumah mereka.

"Tanjak Tamra Warisa edisi khas merdeka ini dijual pada harga RM75 dan ia boleh ditempah menerusi Facebook.

"Semoga dengan usaha sebegini, busana tradisional dapat dimartabatkan kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:30 AM