FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyemak semula ramalan penurunan trafik penumpang bagi 2021 dengan jangkaan penguncupan antara 77.0 peratus dan 80.2 peratus tahun ke tahun, bersamaan antara 5.3 juta dan 6.1 juta penumpang.

Ia lebih rendah berbanding 18.9 juta hingga 20.6 juta penumpang yang diunjurkan sebelum ini pada April 2021, kata suruhanjaya itu.

"Semakan ramalan ini mengandaikan faktor beban yang lebih rendah dan tempoh pemulihan yang lebih panjang bagi kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada suku kedua 2021, jumlah trafik penumpang adalah 1.3 juta - terendah sejak suku kedua 2020 iaitu pada 0.8 juta, katanya.

MAVCOM berkata, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku keempat 2020 sehingga suku kedua 2021 menjejaskan pemulihan trafik penumpang domestik.

"Trafik penumpang antarabangsa masih kecil akibat penutupan sempadan antarabangsa yang masih dilaksanakan.

"Di sebalik jumlah trafik penumpang semasa yang rendah, jangkaan trend perjalanan terbesar dalam masa terdekat ini adalah peningkatan bagi perjalanan domestik, perjalanan jarak dekat bagi penumpang yang menerima vaksin lengkap," katanya.

MAVCOM berkata, dari segi kargo, jumlah volum bertambah 80.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021 susulan permintaan yang tinggi terhadap vaksin, peralatan perubatan, kelengkapan perlindungan diri, komponen elektrik dan elektronik serta pertumbuhan kukuh yang dilihat dalam e-dagang.

Ia menjangka trafik kargo udara pada 2021 akan berkembang antara 26.5 peratus dan 28.2 peratus tahun ke tahun dan seterusnya pulih kepada tahap sebelum krisis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:31 PM