Anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap di dalam kereta di Jalan Mahsuri, Bayan Baru, di sini hari ini, selepas pintu kereta berkenaan terkunci secara automatik. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap di dalam kereta di Jalan Mahsuri, Bayan Baru, di sini hari ini, selepas pintu kereta berkenaan terkunci secara automatik. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Anggota bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di Jalan Mahsuri, Bayan Baru, di sini, hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Roozaidie Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.49 tengah hari.

Katanya, ketika tiba di lokasi, kanak-kanak itu didapati terkunci di dalam kereta dalam keadaan enjin masih hidup.

"Mangsa dalam keadaan baik dan tidak menangis ketika anggota bomba melakukan tugas menyelamat.

"Anggota menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu sebelum mengeluarkan mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Roozaidie berkata, mangsa ditinggalkan bersama abangnya berusia 20-an di dalam kereta sementara ibunya berurusan di premis berhampiran.

"Mereka bukan cuai meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta, sebaliknya pintu kereta berkenaan terkunci secara automatik," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, anaknya terperangkap kira-kira 15 minit sebelum dia menelefon pihak bomba.

"Dia ditinggal bersama abangnya, namun ketika abangnya keluar sebentar daripada kereta, pintu berkenaan terkunci secara automatik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 2:10 PM