Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu seorang kontraktor bagi mendapatkan kontrak penyelenggaraan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) membabitkan RM8,500, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mohd Suhaizal didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 37 tahun, kononnya dia boleh membantu mendapatkan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasiliti infra latihan membabitkan Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Infra Mekanikal PULADA dan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal Lapang PULADA.

Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM8,500 secara perbankan atas talian ke akaun miliknya, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan.

Mohd Suhaizal didakwa atas pertuduhan menipu seorang lelaki bagi mendapatkan kontrak penyelenggaran di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dengan meminta imbuhan bernilai RM8,500, lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohd Suhaizal didakwa atas pertuduhan menipu seorang lelaki bagi mendapatkan kontrak penyelenggaran di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dengan meminta imbuhan bernilai RM8,500, lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Mohd Suhaizal didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah bank tempatan di Kampung Masjid Lama, di Kluang, antara 5 Februari hingga 12 Februari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor,Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakili Abdul Rashid Tasin.

Hakim memutuskan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan kedua kes ditetapkan pada 12 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 1:36 PM