GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Ipoh: Polis sedang mengesan seorang wanita menunggang motosikal dengan dipercayai memakai gelang merah jambu sebagai individu dalam pengawasan (PUS) Covid-19 di kawasan Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, di sini, baru-baru ini, seperti video tular dalam laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu, semalam.

"Polis akan mengeluarkan kompaun sekiranya didapati wanita itu benar-benar melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu dipercayai menunggang kenderaan itu untuk membeli barang keperluan di sebuah kedai runcit dan polis sedang berusaha mengesannya menerusi penelitian rakaman video itu.

Video berdurasi sembilan saat itu tular menerusi aplikasi WhatsApp menunjukkan seorang wanita menunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam, yang dirakam orang awam selepas melihat perbuatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 11:57 PM