NASI campur yang dirampas penguat kuasa JAIM dalam operasi Ramadan. FOTO Nuraliawati Sabri.
NASI campur yang dirampas penguat kuasa JAIM dalam operasi Ramadan. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sanggup meninggalkan motosikal dan lari lintang-pukang, itu antara gelagat beberapa lelaki ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ada yang tidak sempat menikmati makan tengah hari apabila dicekup penguat kuasa JAIM selepas membungkus nasi campur di restoran mamak.

Malah, sebuah premis makanan di Ayer Keroh juga seakan tidak gentar dengan saman dikeluarkan JAIM apabila didapati terus menjual makanan kepada orang Islam.

Pengarah JAIM Datuk Che Shukri Che Mat berkata, dalam operasi yang dijalankan hari ini, sebanyak dua notis perintah hadir dikeluarkan pihaknya masing-masing seorang kepada penjual dan pembeli makanan di premis makanan di Batu Berendam.

"Lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan notis selepas didapati membeli tiga bungkus nasi campur dan memberi alasan tidak munasabah.

"Ketika ditahan lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin memberi alasan hanya membungkus nasi untuk rakannya," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak awal Ramadan lalu sebanyak 32 operasi dijalankan dengan 399 premis diperiksa di seluruh Melaka.

"Daripada jumlah itu sebanyak 39 kes membabitkan ponteng puasa dikesan membabitkan mereka yang berusia 20 hingga 65 tahun.

"Kebanyakan kes yang dikesan adalah membabitkan pembelian makanan di premis sebanyak 12 kes serta tiga individu yang sedang makan dan minum di kedai selain 10 individu yang sedang merokok," katanya.

Menurut beliau, kesemua mereka diberi notis perintah hadir dan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

"Walaupun Ramadan hanya berbaki kira-kira tujuh hari lagi, JAIM akan terus menggerakkan operasi dalam mengesan individu ponteng puasa dan penjual yang bersubahat menjual makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:33 PM