Pekerja restoran di Peringgit Jaya, Melaka melayan pelanggannya yang membuat tempahan makanan. Foto Mohd Hilmie Hussin
Pekerja restoran di Peringgit Jaya, Melaka melayan pelanggannya yang membuat tempahan makanan. Foto Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


SEBUAH restoran di Peringgit Jaya, Melaka didakwa meraih pendapatan berlipat kali ganda di siang hari, berbanding restoran lain apabila sediakan ‘drive thru’ bagi memudahkan kaki ponteng puasa makanan.

Tanpa menggunakan plastik hitam, kaki ponteng puasa juga tidak perlu masuk ke dalam restoran tetapi dan hanya berada di sekitar restoran dan kehendak mereka akan dilayan.

Tinjauan pada 10.30 pagi dari jarak kira-kira 30 meter dari restoran terbabit, mendapati tidak ramai pelanggan dalam restoran itu tetapi kakitangannya kelihatan sibuk membungkus nasi yang kemudiannya dihantar dalam bungkusan plastik merah di sekitar luar restoran terbabit.

Bagi kaki ponteng menggunakan motosikal, mereka dilihat berlegar dan berhenti di tepi restoran terbabit sebelum kakitangan restoran akan mengambil tempahan dari jarak jauh atau menghampiri pelanggannya.

Tidak ketinggalan pelanggan yang menggunakan kereta dan lori, mereka hanya perlu bergerak perlahan melintasi restoran terbabit dan kakitangan restoran itu akan menunjukkan arah tempat letak kereta, sebelum pergi mendapatkan tempahan.

Selepas tempahan siap, kakitangan restoran terbabit masing-masing akan menghantar pesanan yang diambil, berjalan kaki dengan membawa bungkusan plastik merah berisi bungkusan nasi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Rahimin Bani berkata, pihaknya akan memanggil pemilik restoran terbabit dengan mengeluarkan notis amaran hadir ke pejabat JAIM.

“Dengan adanya pendedahan ini, kita dapat tahu pengusaha restoran menggunakan taktik baru menjual makanan kepada masyarakat beragama Islam yang tidak berpuasa.

“Kita akan tempatkan pegawai kita untuk memantau, namun restoran terbabit tetap akan dipanggil dan kita tidak perlukan serbuan lagi kerana sudah mempunyai rakaman video yang dirakam pihak media,” kata Rahimin ketika dihubungi.

Menurutnya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:48 PM