Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari.
Oleh Melvin Joni


Miri: Seorang lelaki tergamak mengugut mahu membakar rumah dan memukul bapanya selepas berang tidak diberikan wang untuk membayar hutang along.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, suspek berusia 45 tahun itu kini dalam buruan pihaknya selepas menghilangkan diri.

Katanya, kira-kira jam 8 pagi semalam ketika mangsa berada di rumahnya di Desa Viasa Jalan Bakam-Miri, anak lelakinya datang meminta duit sebanyak RM50,000 untuk membayar hutang along.

"Bagaimanapun mangsa tidak dapat memberi duit itu kepada suspek menyebabkannya marah dan mengugut membakar rumah dan memukul mangsa," katanya yang dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Hakemal berkata mangsa yang berusia 77 tahun segera datang ke Balai Polis Miri untuk membuat laporan.

"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 4:27 PM