PENJARAKAN fizikal di taska dan tadika. FOTO Ihsan Pengusaha Taska/Tadika
PENJARAKAN fizikal di taska dan tadika. FOTO Ihsan Pengusaha Taska/Tadika
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) bukan sekadar dilaksanakan di peringkat pengusaha saja malah ibu bapa serta pengendali pengangkutan menghantar dan menjemput kanak-kanak turut terbabit sama.

Demikian kata pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak, Datin Zaliza Alias berhubung persediaan pihaknya bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 berlaku di mana-mana taman asuhan dan didikan miliknya.

Beliau yang juga Pengasas Genius Aulad International Group Sdn Bhd berkata, tahun 2020 banyak membantu pihaknya dalam menentukan SOP terbaik untuk diamalkan bukan saja demi kelangsungan perniagaan malah bagi membolehkan kanak-kanak menikmati pendidikan awal menerusi kaedah sepatutnya.

"Sejak tahun lalu kami cuba sedaya upaya meyakinkan semua pihak khususnya kerajaan mengenai pentingnya suasana pembelajaran secara bersemuka diberikan kepada kanak-kanak.

"Sebab itu, selain menjaga SOP dengan cukup teliti di pusat asuhan dan didikan, kami turut menandatangani perjanjian dengan ibu bapa serta 'transporter' (pengusaha servis menghantar dan mengambil kanak-kanak) supaya masing-masing mengamalkan SOP ini dengan seketat mungkin.

"Realitinya, kanak-kanak itu sendiri sangat mudah mendengar kata sekali gus menjadikan amalan SOP dapat diuruskan dengan baik jadi saya yakin kebenaran beroperasi ini bukan saja melegakan kami malah semua rantaian perkhidmatan kami termasuk ibu bapa," katanya.

Jelas Zaliza, sepanjang tahun lalu, tiada kes penularan Covid-19 berlaku di kesemua 70 Genius Aulad termasuk francaisi di seluruh negara malah beliau dimaklumkan hanya dua kes dicatatkan membabitkan penularan di taska atau tadika baik milik swasta mahupun kerajaan di seluruh negara.

Sementara itu, Pengasas Tadika Integrasi Genius Khalifah, Anizah Samah menjelaskan, pelbagai penambah baikan dilakukan sempena pembukaan sesi 2021 bagi taska dan tadikanya tahun ini selepas melalui pengalaman 2020 yang cukup mencabar.

Malah lebih melegakan menurut beliau apabila semua pihak terutama ibu bapa kelihatan lebih faham mengenai SOP yang harus diamalkan demi keselamatan anak masing-masing.

"Selain meletakkan kanak-kanak dalam kumpulan kecil yang sama bagi mengelak pergaulan dalam bilangan lebih besar, kami juga sama sekali tidak membenarkan ibuatau bapa menjemput anak mereka sekiranya mereka masih berpakaian kerja.

"Mereka perlu pulang ke rumah dan bersihkan diri terlebih dulu sebelum ambil anak. Alhamdulillah semuanya faham peraturan ini dan berikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi.

"Demi memastikan SOP terutama penjarakan fizikal dapat diuruskan dengan baik, kami juga terpaksa mengehadkan pengambilan kanak-kanak pada tahun ini," katanya.

Tidak menafikan pengurangan sehingga 50 peratus dari segi jumlah kanak-kanak yang dihantar ke taska dan tadika miliknya selepas PKP dilaksanakan tahum lalu, Anizah bagaimanapun lega kerana pendaftaran baharu pada tahun ini lebih baik.

"Alhamdulillah, terima kasih juga kepada kerajaan kerana yakin dengan operasi taska dan tadika sepanjang PKP ini," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula hari ini.

PKP itu bagaimanapun sedikit berbeza berbanding pelaksanaan PKP di seluruh negara pada tahun lalu dimana taska dan tadika diberi kebenaran untuk beroperasi pada kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:05 PM