DATUK Azhar Azizan Harun (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said. FOTO Bernama
DATUK Azhar Azizan Harun (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing kekal sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pelantikan mereka adalah sah.

Ia susulan keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang membenarkan permohonan Azhar, Azalina dan dua yang lain untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi individu untuk mencabar kesahihan pelantikan mereka.

Ahmad Kamal berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua plaintif dan defendan, beliau mendapati bahawa pelantikan Azhar dan Azalina adalah sah dan tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah.

"Permohonan defendan pertama (Azhar), kedua (Azalina), ketiga (Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon) dan keempat (Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin) untuk membatalkan saman pemula dibenarkan.

"Berikutan keputusan itu mahkamah tidak menetapkan sebarang kos selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan itu adalah melibatkan kepentingan awam," katanya.

Ahmad Kamal dalam penghakimannya berkata pada pandangannya permohonan saman dan bukti afidavit menunjukkan bahawa Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah digugurkan daripada jawatannya sebagai Speaker dengan keputusan dan usul yang dibuat oleh Dewan Rakyat.

"Pada peringkat lain persidangan Dewan Rakyat pada hari itu Azhar dan Azalina terpilih menjadi Speaker dan Timbalan Speaker melalui usul yang dibawa dan disahkan oleh Dewan Rakyat," katanya.

Hakim itu berkata bahawa artikel 57 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa Parlimen yang menentukan penyingkiran dan pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker.

"Saya berpandangan bahawa segala isu atau permasalahan yang berkaitan dengan pemecatan dan pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker harus diteliti, dibahas dan diselesaikan di Parlimen. Parlimen mempunyai bidang kuasa eksklusif berhubung perkara itu dan ia mempunyai hak mutlak untuk mengawal prosiding sendiri.

"Sesungguhnya keputusan Parlimen pada 13 Julai 2020 untuk menggugurkan Tan Sri Ariff sebagai Speaker dan melantik Azhar dan Azalina sebagai Speaker dan Timbalan Speaker baharu adalah muktamad," katanya.

Pada 23 Julai lalu, Dr Mahathir dan anaknya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz serta bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina.

Dalam saman pemula mereka, kelima-lima plaintif memohon perisytiharan jawatan Speaker Dewan Rakyat kosong sejak 13 Julai dan pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah kerana tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 3, 4, 6 dan 47 dan/atau kedaulatan undang-undang.

Mereka juga menuntut perisytiharan tempoh 14 hari bagi setiap ahli menamakan calon-calon untuk jawatan Speaker dan Timbalan Speaker bermula dari tarikh usul mengosongkan jawatan itu diluluskan.

Mereka juga memohon perintah supaya Yang Dipertua dan Timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh Ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.

Peguam Amer Hamzah Arshad dan Tania Scivetti mewakili semua defendan manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Dr Mahathir dan empat plaintif yang lain.

Amer Hamzah berkata berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, tidak ada persoalan mengenai pelantikan Azhar dan Azalina.

"Mereka kini boleh merasa lega, pelantikan mereka adalah sah. Mahkamah telah dengan jelas menetapkan prinsip undang-undang dan tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana mana pihak," katanya.

Sementara itu, peguam Azalina dan Nizam Mydin dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah telah memperkuat doktrin pemisahan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan dan memperkukuh tugas mahkamah untuk mendukung perlembagaan.

"Keputusan hari ini memperkukuh doktrin pemisahan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu juga memperkuatkan peranan terpenting kehakiman, iaitu untuk melindungi ketuanan Perlembagaan Persekutuan kita," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:06 PM