Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa di setiap negeri bagi memastikan isu daging diragui status halal dapat dibendung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri berkata, Jakim juga diminta mengadakan pemantauan bersama dengan pihak berautoriti terhadap isu berbangkit.

"Insya-Allah Jakim akan memantau dan bekerjasama dengan pihak berwajib dan berautoriti di negeri masing-masing. Dalam hal ini menjadi satu keprihatinan dan kecaknaan Jakim.

"Kita juga akan bekerjasama dengan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan akan tengok kuasa negeri... semua sekali untuk kita kolaborasi dan sekalikan (tindakan) Insya-Allah.

"Kita akan ambil tindakan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut isu sama, Zulkifli meminta orang ramai supaya merujuk Jakim sekiranya berasa was-was terhadap status daging yang ingin dibeli.

Beliau turut meminta orang ramai supaya merujuk kembali kenyataan yang dikeluarkan Jakim semalam, untuk memperoleh maklumat berhubung isu daging seludup.

"Saya minta tolong rujuk jawapan yang diberikan oleh JAKIM semalam," katanya.

Semalam, Jakim dalam satu kenyataan menjelaskan isu daging seludup masih dalam siasatan KPDNHEP dan menasihatkan semua pihak supaya tidak memberi ulasan serta pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bimbang perkara ini secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport serta pengusaha industri daging negara yang mendapat pengesahan halal sah.

"Sebarang komentar tidak disertakan dengan bukti kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir dan loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim.

"Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

"Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:06 PM