Datuk Hajiji Noor. FOTO arkib NSTP
Datuk Hajiji Noor. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor meminta rakyat Sabah supaya terus mengekalkan semangat harmoni tanpa mengira kaum dan agama serta menghadapi tahun baharu dengan lebih berani.

Pada perutusan beliau sempena Hari Natal dan Tahun Baru yang dikeluarkan hari ini, Hajiji berkata, pandemik Covid-19 menjadikan 2020 sebagai tahun yang sangat mencabar.

"Dalam masa seminggu lagi, tahun baharu akan menjelma dan walaupun 2020 adalah tahun sukar susulan pandemik, tetapi tahun baharu 2021 perlu dilihat dengan penuh harapan dan keberanian.

"Rakyat Malaysia daripada pelbagai agama telah meraikan perayaan mereka dengan meriah ketika penularan pandemik ini dan saya percaya, masyarakat Kristian di Sabah juga akan meraikan sambutan Hari Natal dengan semangat yang sama.

"Saya juga meminta rakyat untuk merenung sejenak persamaan yang selama ini menyatukan, kekal fokus membina semangat harmoni dan persefahaman antara kaum serta agama di Sabah, tanpa mengira perbezaan kepercayaan dan latar belakang.

"Marilah kita terus mengekalkan rasa hormat, kestabilan dan harmoni yang dibina oleh nenek moyang kita dan seterusnya untuk generasi akan datang. Inilah laluan ke arah perpaduan dalam kepelbagaian yang kita jalani selama ini," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut meminta agar rakyat Sabah sentiasa mengingati semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19 dan tidak melupakan golongan kurang bernasib baik.

"Kita sentiasa mendoakan mereka dan ahli keluarga mereka.

Dalam masa sama, Hari Natal adalah masa untuk bergembira, berkat, memberi dan saling memaafkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

"Janganlah kita melupakan mereka yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan daripada kita.

"Selamat Hari Natal, khususnya buat masyarakat Kristian yang meraikan perayaan ini dan Selamat Tahun Baharu kepada semua. Semoga musim perayaan ini akan membawa kedamaian, kemakmuran, semangat muhibah dan kegembiraan kepada kita," katanya.

Hajiji turut mengingatkan rakyat agar menjaga diri dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 2:01 PM