Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok sudah melepasi tahap amaran selepas menerima taburan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 7 pagi ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.03 meter melepasi tahap amaran iaitu lapan meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata rekod sebelum ini menunjukkan paras waspada bagi Sungai Golok ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

"Biasanya, air mula melimpahi tebing Sungai Golok dan membanjiri seluruh pekan Rantau Panjang apabila paras sungai ini melepasi 10 meter.

"Jika aras air sungai terus naik berkemungkinan beberapa kampung di sekitar lembangan sungai Golok seperti Kampung Lachang, Kampung Banggol Kong, Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tersang, Kampung Bongor, Kampung Jejawi, Kampung Pengkalan Teluk, Kampung Luar dan Kampung Tok Derpah, di sini, mula dinaiki air.

"Setakat ini, beberapa jalan di kampung terbabit sudah dinaiki air separas 0.2 sehingga 0.4 meter jalan menghubungkan Kampung Putat Tujuh, Kampung Jejawi dan Kampung Bongor tetapi keadaan masih terkawal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Imran berkata, tinjauan pihaknya juga menunjukkan air sungai deras berikutan peningkatan paras air, justeru penduduk kampung dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai untuk elak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Pihak kami bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh dengan norma baharu memandangkan negara kini berhadapan dengan pendemik Covid-19.

"Selain menasihati setiap anggota bertugas, saya juga menyeru semua masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jika banjir melanda.

"Banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika taburan hujan terus meningkat, jadi penduduk setempat perlu mengambil langkah dengan berpindah awal bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 11:39 AM
KEADAAN arus Sungai Golok deras akibat peningkatan paras air di Pangkalan Haram, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN arus Sungai Golok deras akibat peningkatan paras air di Pangkalan Haram, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR