BANGUNAN Canselori UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Canselori UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan tidak ada pensyarah sambilan yang akan diberhentikan seperti dilaporkan serbuah portal.

Naib Canselor, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, laporan portal berkenaan disalah tafsir dan mengelirukan pelbagai pihak.

"Untuk makluman semua, pengambilan pensyarah sambilan di UiTM untuk setiap semester adalah berdasarkan kepada keperluan program dan subjek di setiap fakulti.

"Justeru, jumlahnya adalah berbeza-beza pada setiap semester. Oleh itu, laporan yang mengatakan UiTM memberhentikan pensyarah sambilan adalah tidak tepat dan amat dikesali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kenyataan bertulis UiTM kepada portal berkenaan juga tidak sama sekali menyentuh isu berkaitan pemotongan bajet universiti.

Justeru katanya, isu pemberhentian pensyarah sambilan tidak timbul sama sekali.

"UiTM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang amat prihatin terhadap pembangunan serta pengoperasian universiti.

"Sehubungan itu UiTM menegaskan bahawa institusi ini akan mendokong serta memastikan pendidikan bumiputera terus diperkasakan dalam mendepani cabaran norma baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:57 AM