ANGGOTA Keselamatan menggunakan bot samaran bagi mengesan aktiviti bom ikan di kawasan perairan Semporna. FOTO Ihsan ESSCOM
ANGGOTA Keselamatan menggunakan bot samaran bagi mengesan aktiviti bom ikan di kawasan perairan Semporna. FOTO Ihsan ESSCOM
Abdul Rahemang Taiming


Semporna : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) meningkatkan operasi bagi mengekang kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, menerusi risikan dan operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan kegiatan nelayan yang kembali aktif menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Beliau berkata, sebanyak lima kes berkaitan aktiviti mengebom ikan masing-masing di kawasan perairan Tobo-Tobo dan Singaban berjaya di patahkan menerusi operasi selama tiga hari yang bermula pada Selasa.

"Sepanjang operasi itu, kita turut menemui pelbagai ikan dan hasil laut seberat hampir 50 kilogram yang disyaki diperoleh menggunakan bahan letupan.

"Selain itu, pelbagai peralatan menangkap ikan termasuk lima buah perahu dan enjin pam turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat selepas suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan paya bakau.

"Kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 52 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan," katanya.

Caption :

SEMPORNA 13 NOVEMBER 2020. Antara peralatan bersama hasil laut yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. Nstp / ihsan Esscom.

From: Abdul Rahemang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 10:29 AM