GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Dua sekolah agama kerajaan Johor di Kempas, di sini, diarah ditutup tujuh hari bermula hari ini, susulan penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, penutupan berkenaan membabitkan Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas, yang akan ditutup mulai 25 hingga 31 Oktober ini.

Katanya, penutupan kedua-dua sekolah agama berkenaan dibuat atas nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekolah Agama Taman Cempaka diarah ditutup selepas seorang murid Darjah Khas disyaki dijangkiti wabak Covid-19 dari ibunya yang disahkan positif wabak berkenaan dengan murid berkenaan sudah menjalani ujian calitan dan masih menunggu keputusan.

"Penutupan Sekolah Agama Kempas pula dibuat susulan arahan penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohd Rahmat, yang berada berhampiran sekolah agama berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya mengumumkan kewujudan kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Kempas membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor yang sudah menjangkiti lapan individu.

Mengulas lanjut, Tosrin berkata, penutupan kedua-dua Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas itu membabitkan seramai 2,862 murid, 43 guru dan lima kakitangan sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 9:37 AM