Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Mamat

Jasin: Melaka bakal membuka semula laluan udara ke Pulau Pinang menerusi syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, awal bulan depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka Datuk Roslan Ahmad berkata, langkah berkenaan susulan persetujuan antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan berkenaan selepas beberapa siri perbincangan yang diadakan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan berkenaan terutama membabitkan beberapa aspek termasuk promosi.

"Selain itu, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri juga akan mengadakan promosi di Pulau Pinang, termasuk berbincang dengan ejen pelancongan di negeri terbabit bagi menarik pelancong ke Melaka dengan menggunakan pesawat Malindo Air.

"Jika sebelum ini, promosi kita tertumpu kepada penerbangan secara sehala iaitu dari Melaka ke Pulau Pinang tetapi bermula bulan depan, kita dijangka akan laksanakan promosi dua hala dengan membawa pelancongan dari negeri itu ke Melaka," katanya selepas merasmikan pusat jualan produk kecantikan, Lenne Beauty di Bandar Baru Merlimau Utara di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, mungkin terdapat beberapa faktor menyebabkan permintaan masih rendah sebelum ini termasuk penularan Covid-19 selain pengguna tidak yakin untuk melancong ke luar negeri atau tidak tahu mengenai pengoperasian Malindo Air di Melaka.

Justeru, katanya, sebagai usaha memberi keyakinan kepada penumpang, Malindo Air juga perlu menawarkan penerbangan pada hujung minggu berbanding fokus pada hari bekerja seperti sebelum ini bagi menarik pelancong khususnya mereka yang sudah berkeluarga.

"Sepatutnya Malindo Air memulakan semula operasi mereka yang terpaksa ditangguh ekoran Covid-19 pada September lalu, namun disebabkan permintaan yang rendah, operasi penerbangan tidak dapat diteruskan.

"Saya juga berharap syarikat penerbangan itu dapat membuat jualan tiket secara pakej dengan setiap pembelian tiket, penumpang akan dapat menikmati baucar penginapan dan makan minum pada satu harga.

"Saya yakin, menerusi kaedah itu akan dapat menarik lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan itu untuk ke Melaka atau Pulau Pinang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 9:42 AM