KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
BERNAMA

Putrajaya: Penjara Reman Pulau Pinang menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ialah memperketatkan pergerakan fizikal masuk dan keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang termasuk pergerakan bersyarat bagi anggota yang bekerja.

"Perjumpaan dan lawatan keluarga, peguam kedutaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak luar adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya.

Menurut jabatan itu, aktiviti seperti kursus, komuniti, sukan, riadah dan majlis keraian di dalam kawasan penjara dan kuarters adalah dilarang sama sekali.

Selain itu, katanya sekatan penuh akan dilaksanakan ke atas blok-blok penempatan banduan yang positif Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian mengenai Covid-19 berkata Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan keseluruhan 19 kes serta satu kematian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 6:27 PM