TUANKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim. FOTO Ihsan Facebook (FB) HRH Crown Prince of Johor.
TUANKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim. FOTO Ihsan Facebook (FB) HRH Crown Prince of Johor.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, berkata demikian dalam kenyataan dimuatnaik dalam akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Menurutnya, Sultan Johor berpendapat, ketabahan serta pengalaman luas dan mendalam Tunku Ismail dalam hal ehwal pentadbiran, berkebolehan dan mampu menjadi penjana kepada pembangunan belia, memimpin sekali gus membawa golongan itu ke mercu kejayaan.

"Tunku Mahkota Johor juga berjaya mengurus tadbir pasukan bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sehingga mengharumkan Johor di persada antarabangsa.

"Sultan Johor yakin dan percaya dengan kepimpinan Tunku Ismail dan dengan kerjasama kerajaan negeri terhadap penyediaan infrastruktur serta sokongan padu belia, bangsa Johor akan berjaya memperkasakan jati diri bagi mencapai sasaran lebih cemerlang.

"Pelantikan Tunku Mahkota Johor sebagai pemimpin belia Johor membuktikan Sultan Ibrahim prihatin terhadap pembangunan belia dan menyedari golongan berkenan adalah penerus kesinambungan bagi meneruskan pembangunan dan kemajuan Johor selaras dengan aspirasi dan kehendak bangsa Johor, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Sultan Johor turut menyeru belia Johor daripada semua bangsa dan agama untuk bekerjasama memajukan Johor dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 1:57 PM