SUKARELAWAN PKKMKL menyerahkan sumbangan kepada gelandangan sekitar ibu negara. FOTO ihsan PKKMKL
SUKARELAWAN PKKMKL menyerahkan sumbangan kepada gelandangan sekitar ibu negara. FOTO ihsan PKKMKL
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Melihat kehidupan golongan gelandangan termasuk bayi tidur di kaki lima memberi keinsafan buat sukarelawan Persatuan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur (PKKMKL) ketika menyerahkan bantuan keperluan asas, baru-baru ini.

Mana tidaknya, dengan hanya beralaskan kotak dan berselimut kain nipis, ia menyentuh hati mereka yang bergerak secara berkumpulan di beberapa kawasan di ibu negara.

Pengerusi PKKMKL Zulkarnain Abdul Rahman, 36, berkata program dengan kerjasama pasukan Callman C7 itu bertujuan memberi sumbangan barangan asas kepada gelandangan terutama kepada mereka terjejas akibat banjir melanda ibu kota minggu lalu.

Katanya, seramai 50 sukarelawan turun padang di kawasan Chow Kit dan Masjid Jamek untuk menyantuni gelandangan di sekitar itu.

"Ia memberi pengalaman berharga buat kami kerana dapat melihat sendiri bagaimana gelandangan menguruskan hidup mereka.

"Paling tersentuh apabila melihat bayi yang masih kecil diulit lena di kaki lima. Terbayang anak-anak di rumah yang dapat tidur di tilam dan bantal yang empuk," katanya kepada Harian Metro.

SUKARELAWAN PKKMKL dan C7 bergambar kenangan selepas selesai program. FOTO ihsan PKKMKL
SUKARELAWAN PKKMKL dan C7 bergambar kenangan selepas selesai program. FOTO ihsan PKKMKL

Zulkarnain berkata, program itu akan diteruskan dengan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan.

Katanya, selain biskut dan makanan ringan, pihaknya juga menyerahkan keperluan diri seperti berus dan ubat gigi kepada mereka.

"Ini adalah hasil sumbangan ahli PKKMKL dan C7 yang terpanggil untuk membantu golongan memerlukan.

"Insya-Allah kita akan terus membantu selagi termampu. Kita mahu didik ahli dengan program bermanfaat dan berbakti untuk masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 2:47 PM