Hasni Mohammad (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai projek berskala besar yang akan dibangunkan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Ltd (MCCL). FOTO BERNAMA
Hasni Mohammad (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai projek berskala besar yang akan dibangunkan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Ltd (MCCL). FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor menerima pelaburan asing terbesar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan apabila berjaya memeterai pelaburan membabitkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM8 bilion, untuk tempoh 10 tahun.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata jumlah pelaburan berkenaan membuktikan Johor masih menjadi destinasi pelaburan berpotensi tinggi di negara ini.

"Kerajaan Johor berharap pelaburan besar yang sudah dimetrai seperti hari ini akan dapat merancakkan semula pembangunan ekonomi di negeri ini.

"Kita hadapi banyak cabaran berikutan Covid-19 dan kerajaan negeri sedia membantu mana-mana pihak termasuk pemaju untuk melaksanakan pembangunan di negeri ini.

"Pelaburan seperti ini 'is a breath of fresh air' dan memberi makna terhadap pembangunan ekonomi Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Hartanah di antara Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Bhd (MCC) Singapura, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Naib Pengerusi Eksekutif IWH, Tan Sri Lim Kang Ho dan Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapura, Tan Zhiyong.

Kerjasama antara IWH dan MCC Singapura itu membabitkan pembangunan komersial berskala besar di atas tanah berkeluasan 60 hektar.

Fasa pertama projek yang akan bermula awal tahun depan itu membabitkan pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.88 bilion.

Sementara itu, Zhiyong berkata, projek itu akan mewujudkan sebuah pusat bandar baharu di Johor.

"Ia akan menjadi sebuah bandar pintar yang dilengkapi dengan ciri-ciri canggih sekaligus menjadi pemangkin kepada transformasi bandar raya Johor Bahru yang lebih berteknologi maju.

"Kami optimis dengan projek ini kerana kedudukannya yang strategik dan jaraknya yang berdekatan dengan kawasan berkepadatan tinggi membabitkan penduduk dan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:07 PM