Awang Hashim melancarkan MySPIKE dan TVET Instructor eProfiling System (TiPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Awang Hashim melancarkan MySPIKE dan TVET Instructor eProfiling System (TiPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) bercadang memasukkan golongan penghantar makanan dan parcel (P-Hailing), sebagai salah satu kumpulan yang akan dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, kementerian itu kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan bagi melindungi golongan itu.

"Kita sekarang dalam peringkat perbincangan mengenai hal ini dan sekiranya semua urusan ini selesai, Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M. Saravanan) akan mengumumkan sendiri perkara ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) dan TVET Instructor eProfiling System (TIPS) 2020, di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di Shah Alam tadi.

Beliau diminta mengulas tuntutan pekerja P-Hailing yang meminta supaya kebajikan mereka diberi perhatian oleh kementerian itu.

Terdahulu, dua aplikasi atas talian yang dilancarkan pada majlis berkenaan adalah inisiatif KSM melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Awang berkata, aplikasi berkenaan akan meningkatkan kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berkaitan latihan kemahiran dan TVET.

"Sistem MYSPIKE terdiri daripada 16 modul yang merangkumi modul pentauliahan, pendaftaran, verifikasi, persijilan, penarafan bintang, SkillsMalaysia, NOSS, Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dan Personel Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

"TIPS pula adalah aplikasi atas talian bertujuan untuk mengenalpasti jurang kompetensi tenaga pengajar kemahiran dan TVET seterusnya dapat menentukan keperluan latihan yang tepat bagi mengisi jurang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi atas talian itu adalah satu usaha Kerajaan bagi menambahbaik perkhidmatan dan sistem penyampaian untuk rakyat selaras dengan hasrat Kerajaan ke arah Kerajaan Digital atau e-Kerajaan yang fokus kepada produktiviti dan inovasi perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 8:12 PM