MOHD Zaki (kanan) menyerahkan sumbangan MJKGPJ kepada Ab Hamid dan Mohd Farhan (tiga kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Zaki (kanan) menyerahkan sumbangan MJKGPJ kepada Ab Hamid dan Mohd Farhan (tiga kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENGORBANAN seorang anak menjaga ayah yang lumpuh diserang angin ahmar di Kampung Gong Pak Jin, Kuala Nerus, mendapat perhatian dan simpati Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Gong Pak Jin (MJKGPJ).

Harian Metro sebelum ini melaporkan kesungguhan Mohd Farhan Ab Hamid,29, menjaga dan melayan bapanya, Ab Hamid Mat Husin, 63, yang diserang angin ahmar dan terlantar mendapat pujian warga net apabila gambarnya membawa bapanya di dalam raga motosikal untuk ke kedai makan dan bersiar-siar tular di media sosial.

Mohd Farhan berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tampil membantu dia dan keluarga sejak kisahnya tular di media sosial.

"Saya dan keluarga berasa sangat terharu apabila pihak MJKGPJ datang menjenguk dan memberi sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

"Sumbangan itu sedikit sebanyak membantu saya membeli barangan keperluan bapa seperti lampin pakai buang dan susu khas yang diperlukannya.

"Biarpun kami sangat memerlukan bantuan tetapi berasa segan untuk selalu meminta-minta maklumlah saya masih mampu bekerja," katanya ketika ditemui pada Lawatan dan Pemberian Sumbangan MJKGPJ di rumahnya, Kuala Nerus, hari ini.

Tambahnya, pendapatan bulanannya sebagai buruh tidak mengcukupi untuk menampung perbelanjaan bapa.

"Oleh itu, saya bercadang untuk mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung seterusnya mendapat pendapatan tambahan bermula September ini.

"Harapan saya supaya ada penduduk yang sudi menggunakan khidmat saya itu dan ia sama seperti membantu saya dan keluarga.

"Jika tidak memberikan sumbangan terus, mereka boleh mengupah untuk menggunakan khidmat saya memotong rumput di rumah mereka," katanya.

Sementara itu Pengerusi MJKGPJ, Ustaz Mohd Zaki Mat Yakim berkata, pihaknya kagum dengan kesungguhan dan pengorbanan Mohd Farhan menjaga bapanya yang uzur itu.

"Kesabaran Mohd Farhan menjaga dan melayan kehendak bapanya yang terlantar sakit itu boleh dipuji dan dicontohi oleh masyarakat.

"Kami juga berasa simpati dengan kesempitan yang dilalui Mohd Farhan sekeluarga seterusnya memberikan sumbangan barang keperluan dan wang tunai," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan turut membantu Mohd Farhan bagi mendapatkan sumbangan dan pembiayaan sewa rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dalam masa terdekat.

Berita berkaitan:

  • 'Apa saja demi ayahku...' [METROTV]


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 11:49 AM