MOHD Zaidi (dua dari kanan) bersama penduduk dalam Program Korban di Masjid Jamek Kampung Kuala Slim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
MOHD Zaidi (dua dari kanan) bersama penduduk dalam Program Korban di Masjid Jamek Kampung Kuala Slim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Rosman Shamsudin


PERSIAPAN jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mencapai 90 peratus menjelang penamaan calon pada 15 Ogos dan hari pengundian pada 29 Ogos depan.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata, jentera UMNO membabitkan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sudah bersiapsiaga menjelang PRK DUN Slim.

Katanya, semua sayap UMNO bahagian sedang sibuk sedang bertungkus lumus mengemaskini maklumat pengundi setempat dan pengundi luar bagi memastikan hari pengundian berjalan lancar.

"Kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh semua sayap UMNO bahagian membuktikan mereka memang serius dalam mempertahankan kubu kuat UMNO di DUN Slim.

"Parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC juga memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan calon BN yang diwakili UMNO menang dengan majoriti yang besar dalam PRK ini," katanya ketika ditemui di Program Korban dekat Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Slim River, Perak tadi.

Beliau yang juga Pengarah Operasi PRK DUN Slim berkata, pihak MCA dan MIC juga bersetuju membentuk jentera PRK DUN Slim yang bakal diselaraskan oleh Pengarah PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerjasama parti komponen BN ini sudah tentu dapat memudahkan jentera BN dalam meraih undi dalam kalangan pengundi bukan Melayu terutama sepanjang kempem nanti.

"Malam esok, kami akan mengadakan mesyuarat rasmi bersama pihak Pas bahagian Tanjung Malim bagi merealisasikan kerjasama Muafakat Nasional ( UMNO-Pas).

"Mesyuarat ini berkisar penyusunan gerak kerja dan jentera PRK DUN Slim. Sehingga hari ini pihak Pas memberi kerjasama yang cukup baik," katanya.

Menurutnya, walaupun dimaklumkan namanya dalam senarai pendek calon PRK DUN Slim, namun beliau meletakkan perkara itu sebagai nombor dua kerana yang penting persiapan untuk memenangi PRK DUN perlu diutamakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 2:06 PM