HUZIR MOHAMED
HUZIR MOHAMED
Raja Noraina Raja Rahim


APLIKASI mudah alih Gerak Malaysia yang dibangunkan untuk mengesan dan menyimpan rekod pergerakan rakyat Malaysia akan ditamatkan perkhidmatan mulai esok.

Dalam kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini meminta pengguna memadamkan aplikasi itu kerana tidak lagi mempunyai fungsi aktif selepas tarikh berkenaan.

"Semua data peribadi akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rekod pergerakan pengguna berkaitan aplikasi Gerak Malaysia yang disimpan turut dilupuskan.

"Kerjasama antara PDRM dan SKMM menyumbang kepada kejayaan pelbagai operasi.

"Kerjasama baik ini akan diteruskan dalam menghadapi cabaran di masa hadapan demi ketenteraman rakyat dan keselamatan negara," kata kenyataan itu.

Gerak Malaysia dibangunkan sebagai aplikasi pengesanan dan penyimpanan rekod pergerakan yang terperinci.

Selain membantu mengesan kontak rapat kes Covid-19, ia juga membolehkan PDRM menguruskan permit perjalanan rentas sempadan negeri dan memantau jumlah pergerakan.

Sementara itu, bagi membantu pihak berkuasa mencegah dan mengawal penularan pandemik Covid-19 secara berkesan, orang ramai diseru memuat turun aplikasi MySejahtera.

"Aplikasi itu secara asasnya digunakan untuk memperkasa penduduk melakukan penilaian kendiri, mendapat maklumat terkini Covid-19, mengetahui kawasan berisiko dan mendaftar diri sebelum memasuki premis," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, Gerak Malaysia dimuat turun sebanyak 1.364 juta kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 5:32 PM