GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


PELAJAR perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Jalan Damai, Kota Kinabalu, ditemui mati tergantung dalam bilik asrama, petang tadi.

Mangsa berusia 15 tahun yang berasal dari Kota Marudu ditemui rakannya dan warden asrama jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian mangsa bersama empat rakannya berada di bilik asrama.

"Empat rakannya kemudian keluar dari bilik dan kembali semula untuk memanggil mangsa belajar bersama.

"Ketika hendak membuka pintu bilik, mereka dapati ia terkunci. Curiga sesuatu berlaku, rakannya meminta pertolongan warden.

"Warden cuba mengetuk pintu namun tiada tindak balas menyebabkan dia memecahkan pintu sebelum menemui mangsa dalam keadaan tergantung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi proses bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 11:08 PM