Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


SELEPAS proses evakuasi pada 20 Mac lalu susulan penularan Covid-19, hanya empat daripada 68 rakyat Malaysia masih berada di Iran.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahya berkata, mereka termasuk dua banduan yang sedang menjalani hukuman penjara disebabkan kesalahan dadah.

Beliau berkata, dua lagi rakyat Malaysia memilih untuk tinggal di negara republik itu berikutan sudah berkahwin dengan penduduk tempatan.

"Empat rakyat Malaysia tidak dibawa pulang dalam proses evakuasi pada Mac lalu, tetap kami pantau kebajikan mereka.

"Walaupun saya dan kakitangan di Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sudah pulang ke tanah air sejak 20 Mac lalu, tetapi saya masih berhubung dan menerima laporan keadaan baki rakyat kita itu.

"Ketika proses evakuasi dijalankan, kita membawa pulang 55 rakyat Malaysia, lapan pelajar Singapura dan seorang warga Indonesia. Saya juga dapat berhubung dengan dua rakyat kita yang berkahwin dengan warga tempatan dan keadaan mereka juga selamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama wartawan The New Straits Times Press (NSTP) Berhad di Wisma Putra, Putrajaya.

Rustam berkata, penularan Covid-19 di Iran yang membimbangkan pada Mac lalu terutama di wilayah Qom memaksa proses evakuasi terpaksa dilakukan.

"Evakuasi bagi menyelamatkan sekumpulan pelajar Malaysia serta rakyat negara ini yang berkunjung ke Iran pada masa itu.

"Kakitangan rakyat Malaysia yang beroperasi di kedutaan juga terpaksa dihentikan berikutan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menutup sempadan negara.

"Oleh kerana Iran diletakkan bawah sekatan, kedutaan perlu mendapatkan peruntukan untuk operasi dari bank di Dubai," katanya.

Menurutnya, apabila UAE menutup pintu sempadan menyebabkan kedutaan terputus peruntukan sekali gus sukar untuk membayar kos operasi termasuk gaji kakitangan selain mendapatkan bekalan ubatan.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini Kedutaan Besar Malaysia di Tehran masih dibuka dan hanya kakitangan rakyat Iran masih bekerja tetapi tidak membabitkan perkhidmatan berkaitan kedutaan.

"Pengalaman memastikan semua rakyat dan kakitangan kedutaan serta keluarga pulang adalah sesuatu yang baharu, biarpun kami memang mempunyai pelan berdepan situasi kecemasan kerana keadaan di Iran yang sering dilanda gempa bumi.

"Ini berikutan, penularan wabak Covid-19 adalah sesuatu yang baharu, luar jangka selain tiada ubatan yang boleh mengubati mereka yang dijangkiti ketika ini," katanya.

Selepas tiga bulan kembali ke tanah air, Rustam berpendapat mungkin sudah tiba masanya untuk kakitangan penting kembali semula ke Iran untuk meneruskan tugas kedutaan di Tehran.

Ini, katanya, selain kerana kadar kes jangkitan baharu di negara itu semakin berkurangan, malah ketiadaan wakil Malaysia di negara itu juga memberi kesan ekonomi kepada perdagangan dua hala.

"Malaysia adalah pengeksport minyak sawit dengan jumlah eksport kira-kira 400,000 tan pada tahun lalu yang mengisi 40 peratus keperluan Iran.

"Ketika ini, kedutaan dikosongkan. Nilai perdagangan serta eksport minyak sawit kita ke Iran juga jatuh 30 peratus atau kira-kira 100,000 tan.

"Pada masa ini, kami sedang melihat bagaimana dan bila untuk kembali ke Tehran bagi menangani isu ini. Selain eksport sawit, ada lagi dagangan lain yang terkesan dengan penularan wabak ini," katanya.

Rustam yang sudah berkhidmat di Iran sejak 2017, berkata tarikh kembali bertugas di negara itu akan ditentukan bila UAE membuka semula sempadan antarabangsanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 3:01 PM