UJIAN saringan. FOTO NSTP
UJIAN saringan. FOTO NSTP
BERNAMA

SEMUA pelajar dan warga maahad tahfiz di Perak sudah menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya sekali dan ada yang memasuki saringan kali kedua, manakala sebahagian besar premis maahad tahfiz sudah dinyah kuman.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) Mohd Azlan Shuhaimi berkata, kesemua 116 maahad tahfiz turut mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan tidak beroperasi sehingga hari ini.

Malah, beliau berkata, pengurusan maahad tahfiz di negeri itu sedang menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi apabila kerajaan membenarkan operasi pusat pengajian itu dibuka semula.

"Suka ditegaskan di sini seluruh maahad tahfiz Perak yang berjumlah 116 sudah mematuhi segala arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada Kerajaan Persekutuan dan JAIPk dengan tidak beroperasi dan jika ada sudah pasti pihak kerajaan membuat pemantauan yang cukup ketat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, PEMATAP memandang serius tuduhan orang awam kononnya seorang pelajar tahfiz dilaporkan positif Covid-19 berpunca daripada Pondok Tahfiz As Sharif, di Batu Gajah, seperti yang tular di media sosial.

Katanya, tuduhan itu bukan sahaja boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat malah mengelirukan sehingga boleh menjejaskan nama baik maahad tahfiz berkenaan, dan membabitkan seluruh maahad tahfiz di Perak khususnya dan negara amnya.

"Tuduhan itu tidak benar dan satu laporan polis sudah dibuat oleh Pengetua pondok berkenaan, Azizul Yahya," katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan juga diminta memohon maaf secara terbuka.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Perak merekodkan pertambahan satu kes positif Covid-19 menjadikan keseluruhan 256 kes.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 1:42 PM