GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


KERAJAAN United Kingdom (UK) bersetuju melanjutkan visa penuntut Malaysia yang menuntut di negara itu berikutan penularan wabak Covid-19.

Melalui kenyataan media dikeluarkan Kementerian Luar, persetujuan dibuat Kerajaan United Kingdom membabitkan visa penuntut Malaysia yang tamat tempoh sejak 24 Januari lalu sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat selepas kumpulan penuntut terbabit tidak dapat keluar meninggalkan negara berkenaan selepas pemberhentian sementara syarikat penerbangan negara itu ke luar negara.

Keputusan sama ada tarikh itu akan dilanjutkan lagi selepas 31 Mei ini hanya akan dapat diketahui menjelang tarikh akhir berkenaan.

Baru-baru ini, syarikat penerbangan, British Airways membatalkan semua jadual penerbangan ke Kuala Lumpur sehingga Jun menyebabkan kumpulan penuntut itu terkandas untuk pulang ke tanah air.

Beberapa penuntut yang terkesan dengan perkara itu mengemukakan aduan bertulis kepada Malawakil di London manakala pihak Wisma Putra sedang berusaha bagi mendapatkan tiket penerbangan pulang.

Setakat ini hanya penerbangan Qatar Airways yang masih menawarkan penerbangan dari London ke Kuala Lumpur dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa, Hamad, Doha, Qatar.

Manakala, Malaysian Airlines (MAS) dijangka hanya akan menyambung operasi penerbangan ke London sekitar awal Julai depan.

Malawakil London turut menafikan dakwaan bahawa terdapat 1,500 penuntut Malaysia di United Kingdom menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa dua bulan akan datang.

Hanya 200 orang penuntut menyatakan hasrat untuk pulang pada Mei ini, manakala 631 penuntut pula berhasrat pulang pada Jun ini.

Majoritinya membabitkan penuntut tahun ketiga dan tahun akhir serta pelajar lepasan ijazah.

Tarikh peperiksaan akhir bagi penuntut Malaysia itu adalah antara pertengahan Mei dan pertengahan Jun bergantung kepada institusi pengajian masing-masing.

Kebanyakan penuntut yang akan menduduki peperiksaan ini masih mempunyai visa yang sah dan tidak membabitkan pelanjutan diumumkan kerajaan negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 9:04 PM