Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERGERAKAN pulang penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim ditangguhkan sementara kerana terdapat dua kes positif Covid-19 dikesan membabitkan dua penuntut.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua penuntut universiti berkenaan yang pulang ke Sabah sebelum ini disahkan positif pandemik berkenaan.

Menurutnya, keputusan penangguhan sementara itu dibuat bagi membolehkan ujian saringan menyeluruh dijalankan di kampus berkenaan.

"Kerajaan beranggapan mereka bebas disebabkan sudah melepasi dua tempoh inkubasi di kampus berkenaan namun ujian mendapati dua penuntut yang pulang ke Sabah positif.

"Bagaimanapun, selepas ujian saringan selesai dan keputusan diperoleh, mereka akan dibenarkan pulang," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama

Menurutnya, perjalanan pulang penuntut di universiti lain di seluruh negara masih berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerbangan dengan kapasiti penuh ke Sabah dan Sarawak dibenarkan memandangkan kerajaan negeri akan menjalankan kuarantin wajib penumpang dari Semenanjung.

Katanya, penerbangan dari dua negeri itu ke Semenanjung pula hanya dibenarkan dengan kapasiti separuh atau maksimum 66.4 peratus bagi membolehkan penjarakan sosial dilakukan di dalam pesawat.

"SOP (prosedur operasi standard) sama juga dilakukan bagi semua penerbangan dalam Semenanjung supaya penjarakan sosial boleh dibuat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 3:50 PM