AMIRUDIN ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
AMIRUDIN ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh


MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diubahsuai adalah hasil daripada beberapa siri mesyuarat serta mendapat penelitian daripada pelbagai agensi berkaitan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil langkah berhati-hati dalam membuka semula sektor ekonomi di Selangor dengan mengubahsuai beberapa perkara dalam PKPB seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan pada Jumaat lalu.

"Sekarang adalah 'transition period', justeru kita perlu berhati-hati dalam tindakan yang diambil dan walaupun selepas keluk pandemik Covid-19 dilandaikan, kita tidak boleh leka bagi mengelakkan wujudnya lagi kluster besar Seri Petaling sebelum ini.

"Saya juga percaya keputusan melaksanakan PKPB yang diubahsuai dibuat dalam lingkungan kuasa kerajaan negeri yang dibenarkan mengikut undang-undang," katanya ketika sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kemungkinan kerajaan negeri terdedah kepada tindakan undang-undang jika menghalang syarikat kembali beroperasi mulai semalam.

Pada Ahad lalu, Selangor mengumumkan PKPB di negeri itu dilaksanakan menerusi beberapa perincian tambahan antaranya restoran dan penjaja berpremis hanya terhad untuk penjualan makanan secara bungkus, pandu lalu dan penghantaran sahaja selain sektor pembinaan perlu menyediakan pelan tindakan keselamatan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum beroperasi.

Menurut Amirudin, walaupun pihak industri dikatakan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri, namun langkah pihaknya melaksanakan PKPB yang diubahsuai adalah berdasarkan kepada kesediaan sektor berkenaan untuk memulakan operasinya.

Katanya, hubungan baik kerajaan negeri dengan semua pelabur di Selangor juga diyakini akan merancakkan kembali sektor ekonomi.

"Keputusan kerajaan negeri Selangor melaksanakan PKPB yang diubahsuai sebagai tindakan 'soft landing' dan bukan 'crash landing' memandangkan semua pihak ketika ini sedang dilatih dengan amalan normal baharu sejak PKP dimulakan pada 18 Mac lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:54 PM