MANGSA meninggal dunia selepas kereta dipandu bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sulaman berhampiran simpang Jalan Kampung Tambalang, Tuaran. FOTO IHSAN BOMBA
MANGSA meninggal dunia selepas kereta dipandu bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sulaman berhampiran simpang Jalan Kampung Tambalang, Tuaran. FOTO IHSAN BOMBA
Recqueal Raimi


SEORANG lelaki maut apabila kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza di Jalan Sulaman berhampiran simpang Jalan Kampung Tambalang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, Jeovintan Eyas, 42, dilaporkan tersepit di bahagian pemandu dan cedera parah di bahagian kepala serta badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.45 tengah hari sebelum enam anggota bergegas ke lokasi beserta dua jentera.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang mangsa tersepit dalam keadaan terbaring dan segera dikeluarkan menggunakan peralatan khas".

"Bagaimanapun, pihak paramedik dari hospital Tuaran yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan MPV, lelaki berusia 24 tahun terbabit hanya cedera ringan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut".

"Manakala, pihak bomba menjalankan pemeriksaan kenderaan dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain," katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan jam 2.13 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan kejadian berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 5:10 PM