Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg
Mohd Roji Kawi


SKIM Kredit Mikro Sarawak (SKMS) yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, dua minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti peniaga di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sehingga semalam, sebanyak 307 permohonan diterima dengan jumlah terkumpul berjumlah RM12.42 juta.

Beliau berkata SKMS menawar dua pakej dengan satu daripadanya dikhaskan untuk kumpulan B40 tanpa faedah dengan pinjaman maksimum RM10,000.

Pakej kedua pula untuk mereka yang dalam kumpulan M40 dengan pinjaman maksimum RM50,000 dan faedah 4 peratus akan ditanggung oleh kerajaan negeri sehingga tiga tahun setengah.

"Walaupun perjanjian antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan keusahawan (MINTRED) dengan agensi pelaksana antaranya Perbadanan Pembanguan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Agro Bank baru saja dibuat, namun sambutan daripada peniaga kecil amat menggalakkan.

"Setakat semalam, daripada 307 permohonan yang diterima, sebanyak 254 adalah permohonan untuk SKMS dengan Agro Bank dengan jumlah pembiayaan yang dipohon berjumlah RM10.24 juta manakala SEDC pula menerima sebanyak 53 permohonan dengan jumlah permohonan pembiayaan sebanyak RM 2.181 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan keusahawan Sarawak berkata, bagi Skim Pinjaman Industri Kecil Sederhana ( SPIKS), pembiayaan berjumlah RM10 juta sudah diagihkan kepada usahawan kecil.

Sementara itu, beliau berkata berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan, kebanyakan pegawai pegawai MINTRED , Agro Bank dan SEDC bekerja melalui applikasi dalam talian dari rumah.

"Dalam tempoh PKP ini, semua pertanyaan dan permohonan hanya dapat diajukan melalui dalam talian sahaja .

"Saya percaya dalam tempoh seminggu dua akan datang, lebih banyak lagi usahawan dan penjaja dari seluruh negeri akan memohon pembiayaan yang disediakan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 5:00 PM