LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Shahrinnahar Latib


REMAJA lelaki yang membawa mayat teman wanita dengan motosikal sebelum ditinggalkan di bawah garaj rumah keluarga gadis terbabit di Felda Keratong 10 dekat Muadzam Shah di Kuantan, semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

“Kes juga disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 ( PPPB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa meninggal dunia ketika dibawa suspek dari tempat kejadian di hadapan kilang sawit Felda Keratong 3 ke rumahnya di Felda Keratong 10.

“Keputusan bedah siasat juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dipercayai akibat kemalangan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, tindakan sepasang remaja bersiar-siar dengan motosikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki mereka bertembung kerbau, menyebabkan seorang gadis berusia 17 tahun terbunuh.

Dalam ketakutan, remaja lelaki terbabit membawa mayat teman wanitanya dengan motosikal sebelum ditinggalkan di bawah garaj rumah keluarga gadis terbabit.

Suspek dikatakan membawa mangsa yang meninggal dunia akibat parah di kepala itu sejauh 15 kilometer, selepas mereka terbabit kemalangan dengan kerbau berkenaan di hadapan kilang sawit Felda Keratong 3, pada 3.30 pagi.

  • Hantar mayat teman wanita ke rumah dengan motosikal
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:58 PM