GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki ditahan selepas memiliki dua pistol tiruan dan gari dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Samudera Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil maklumat orang awam yang diterima jam 4 pagi, sepasukan polis membuat serbuan di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati terdapat seorang lelaki, seorang wanita bersama dua anaknya masing-masing berusia 13 dan satu tahun berada dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui dua pistol tiruan, satu gari, dua peket bebola plastik dan lima peket disyaki dadah jenis syabu.

“Berdasarkan penemuan itu, kami menahan lelaki berusia 41 tahun berkenaan yang kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 11 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, pihaknya turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar masing-masing berusia 27 dan 35 tahun yang dipercayai terbabit kegiatan mencuri motosikal di Batu 7 Jalan Gombak, di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.

“Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota polis daripada Pasukan Lejang Balai Polis Selayang ketika sedang menaiki motosikal Yamaha Lagenda dengan nombor pendaftaran tidak lengkap dalam keadaan mencurigakan.

“Semakan terhadap nombor enjin motosikal berkenaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di daerah ini pada 1 April lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan dua lagi lelaki berusia masing-masing berusia 24 dan 35 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal di lokasi sama jam 3.20 petang semalam.

“Semakan mendapati motosikal Modenas CT-100 digunakan kedua-dua suspek adalah kenderaan dilaporkan hilang di Ampang pada tahun lalu.

“Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:47 PM