Ahmad Ismail


REMAJA yang hilang selepas mandi di Sungai Segamat dekat Kampung Tengah, Segamat semalam, ditemui lemas pada 10.25 pagi, hari ini.

Mayat Norhaikal Ahmad, 17, ditemui pasukan penyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi dia hanyut.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa mandi di sungai itu bersama enam rakan yang semuanya lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun.

“Bagaimanapun, kira-kira 6 petang ketika asyik mandi, mangsa tiba-tiba hilang dibawa arus dan rakannya meminta penduduk berhampiran membantu termasuk menghubungi polis dan bomba.

“Mereka sempat berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

JENAZAH Norhaikal Ahmad, 17, ditemui oleh pasukan penyelamat di Sungai Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.
JENAZAH Norhaikal Ahmad, 17, ditemui oleh pasukan penyelamat di Sungai Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.

Hadir sama, Komander Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Utara Johor, Penguasa Bomba Kanan 1, Email Taihin dan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Aizat Mamat.

Raub berkata, semua mereka menunggang empat motosikal untuk ke sungai itu yang jaraknya lima kilometer dari kediaman.

“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan kira-kira 6.30 petang semalam dan disambung semula 7.30 pagi ini,” katanya.

Seramai 15 anggota polis disertai 22 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra dan Jalan Abdullah termasuk dua penyelam dan dua bot digunakan untuk SAR itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 11:11 AM