KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


JENAZAH doktor lelaki yang juga mangsa ke-9 jangkitan virus Covid-19 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah, Alor Setar dengan kawalan rapi anggota polis, hari ini.

Bagaimanapun, anggota keluarga Allahyarham tidak dibenarkan memasuki dan menghampiri lokasi perkuburan ketika majlis pengebumian dijalankan selepas solat Zohor.

Tinjauan mendapati kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota polis turut berpakaian penyahkuman serta memakai penutup hidung dan mulut.

Doktor pakar di Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar itu menjadi mangsa Covid-19 pertama di kalangan kakitangan KKM disahkan meninggal dunia pada 10.33 pagi.

Ia adalah kematian kesembilan akibat Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, doktor berusia 48 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTF.

Mangsa dipercayai mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 17 Mac lalu selepas mengalami simptom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Terdahulu, beliau disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac lalu dan diberikan bantuan pernafasan, sehari kemudian berikutan keadaan kesihatan yang merosot.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 8:14 PM