AARIZ Aljazari menerima rawatan di ICU Hospital Besar Prachanukroh Chiang Rai. FOTO ihsan Muhamad Muqharabbin
AARIZ Aljazari menerima rawatan di ICU Hospital Besar Prachanukroh Chiang Rai. FOTO ihsan Muhamad Muqharabbin
Muhaamad Hafis Nawawi


ANAK lelaki kepada pendaki dan penjelajah Grand Slam Negara, Aariz Aljazari Muhamad Muqharabbin yang baru berusia 44 hari kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Prachanukroh, Chiang Rai, Thailand akibat pneumonia.

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali Qobin berkata, anaknya pada mulanya mengambil suntikan vaksin untuk sebulan di Malaysia namun ketika pulang ke rumah dia mula batuk dan selsema.

Menurutnya, anaknya mula demam 1 Mac lalu dan sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

“Anak saya sekejap demam dan sekejap baik ketika itu dan ketika ingin menaiki penerbangan pulang ke kampung halaman isteri di Chiang Rai, dia masih sihat dan tidak demam.

“Namun ketika ingin masuk ke pesawat, anak saya seperti diserang sawan namun ketika itu dia belum demam menyebabkan kami meneruskan perjalanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Qobin berkata, sebaik tiba di Chiang Rai, dia kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke Hospital Mae Chan.

“Namun akibat keadaan anak saya sangat lemah dan kritikal, dia kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Prachanukroh, Chiang Rai.

“Ketika berada di ICU keadaannya agak stabil namun semalam tiba-tiba kesihatannya menurun semula dan kuman merebak ke paru-paru,” katanya.

Beliau berkata, jantung anaknya juga berdegup laju dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan doktor turut memberi antibiotik.

“Cuma hari ini keadaan dia kembali stabil namun doktor masih memantau keadaannya dan akan ditambah darah dalam badan.

“Ambil masa juga untuk sembuh dan saya mohon doa dari seluruh teman rapat dan rakyat Malaysia agar anak kembali sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:00 PM