Dr Mahathir bergambar bersama alumni selepas merasmikan MFLS di UKM, Bangi. FOTO Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir bergambar bersama alumni selepas merasmikan MFLS di UKM, Bangi. FOTO Eizairi Shamsudin
Yusmizal Dolah Aling


“APA yang saya tahu PAS kata akan sokong saya, terima kasih. UMNO kata akan sokong saya, terima kasih. Saya tak tahu siapa lagi yang tak sokong saya.

“Jika mereka tak sokong saya, mereka boleh buat resolusi tidak yakin dengan Perdana Menteri dan saya akan ikut undang-undang,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri mengulas mengenai cadangan pemimpin UMNO berhubung kerajaan perpaduan bersama PAS dan UMNO untuk terus berkuasa.

Beliau juga menegaskan tidak akan menyertai parti yang rosak untuk memenangi undi Melayu sebagai mengulas saranan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa yang meminta beliau memilih parti itu atau pun DAP.

“Kalau dia tak rosakkan UMNO saya pilih UMNO lah. Tapi pasal dia dan kawan-kawan dia, Datuk Seri Najib (Razak) guna UMNO untuk curi duit, takkan saya nak masuk parti macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim.

Dr Mahathir turut menyentuh mengenai pertemuannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin yang antara lain berbincang mengenai pertemuan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tanya Datuk Seri Azmin apa yang dia bincang. Dia kata orang UMNO ini mereka sudah hilang parti, tak tahu apa nak buat.

“Jadi mereka tanya sama ada nak masuk parti lain atau tidak. Jadi ada yang buat kenyataan mereka sokong Dr Mahathir,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengingatkan peserta MFLS supaya mengamalkan nilai murni untuk berjaya dalam kehidupan.

Katanya, sejarah sudah membuktikan ada pemimpin berjaya dan gagal kerana sikap mereka yang tamak dan terpengaruh dengan nafsu.

“Dengan sifat mulia dan baik, kita akan dapat mengubah masyarakat mundur sekalipun menjadi masyarakat yang maju.

“Tidak ada sekatan kepada kita kerana segala-galanya mampu dilakukan oleh kita, bukan kita kekurangan apa-apa.

“Kita ada kebolehan yang sama dengan orang lain, tapi apakah kita gunakannya dengan cara yang baik atau pun dengan cara tidak baik,” katanya.

MFLS adalah program baru yang dibentuk untuk melahirkan pemimpin belia yang menyumbang sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 8:07 PM