RAKAMAN video menunjukkan kemalangan menimpa penunggang basikal lajak yang tular di media sosial sejak semalam. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN video menunjukkan kemalangan menimpa penunggang basikal lajak yang tular di media sosial sejak semalam. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN penguatkuasaan terhadap geng basikal lajak tidak terletak kepada polis semata-mata tetapi perlu mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara itu dan berharap agensi penguatkuasaan lain dapat turut sama membantu mengekang masalah basikal lajak.

“Seperti yang saya pernah tekankan sebelum ini, JSPT tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam isu ini terutama ibu bapa.

“Justeru, bagi memastikan perkara itu dapat dibanteras sepenuhnya, kami perlu kerjasama semua agensi penguatkuasaan lain supaya pelaksanaan tindakan undang-undang dapat dilakukan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya menyedari terdapat video tular di media sosial mengenai kemalangan akibat aksi basikal lajak di beberapa lokasi yang belum dikenal pasti.

“Video berdurasi tiga minit 13 saat itu memaparkan beberapa kemalangan yang menimpa penunggang basikal lajak. Berdasarkan rakaman itu, kami percaya ia adalah hasil beberapa video yang dicantumkan oleh pihak tertentu.

“Rakaman ini mungkin adalah sebahagian daripada kemalangan akibat basikal lajak yang tidak dilaporkan. Saya percaya banyak lagi kemalangan seperti ini yang tidak dirakam dan tidak diketahui,” katanya.

Katanya, aktiviti basikal lajak perlu ditangani dengan segera kerana ia bukan saja mengancam nyawa penunggang basikal itu, malah mengundang bahaya kepada pengguna jalan lain.

Terdahulu, video berkenaan tular selepas dimuat naik di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:02 PM