Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu JIM di sekitar Klang pada Selasa lalu. Foto Ihsan JIM
Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu JIM di sekitar Klang pada Selasa lalu. Foto Ihsan JIM
Hidayatul Akmal Ahmad


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 177 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Bersepadu di kawasan pangsapuri di sekitar Klang pada Selasa lalu.

Operasi disertai 170 orang pegawai JIM Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, paling ramai ditahan adalah warga Bangladesh (75), diikuti Indonesia (50), Nepal (3), Kemboja (3), India (12),Myanmar (28), Pakistan (4) dan Sri Lanka (2).

“Sebanyak 149 kediaman diperiksa dalam operasi itu membabitkan 253 penghuni.

“Beberapa orang PATI turut dikesan menggunakan kad UNHCR dan kad MyRC yang disyaki palsu dan hasil soal siasat, mereka mengaku dan membayar sebanyak RM200 kepada ejen untuk mendapatkan kad berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh bermula 1 Januari sehingga 23 Oktober tahun ini, JIM mengadakan sebanyak 14,582 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

Seramai 170,808 orang diperiksa dan hasilnya 43,476 PATI dari pelbagai negara ditahan kerana melanggar akta berkaitan imigresen.

Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi membabitkan warga Indonesia iaitu 14,629 orang diikuti Bangladesh (9,450), Myanmar (4,559), Filipina (3,445) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.

Selain itu, 1,086 majikan turut ditahan sepanjang tempoh terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:39 PM