KHLAID (kiri) mencuba teknik CPR ketika menghadiri Hari Kesihatan anjuran St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan. FOTO ROSDAN WAHID
KHLAID (kiri) mencuba teknik CPR ketika menghadiri Hari Kesihatan anjuran St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan. FOTO ROSDAN WAHID
Amir Abd Hamid


“APA yang Tun (Dr Mahathir Mohamad) sebut, sekiranya rakyat inginkan. Maknanya kalau rakyat nak supaya GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dikenakan, kita (kerajaan) boleh pertimbangkanlah,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir Khamis lalu berkaitan GST bahawa kerajaan sedia kaji semula pelaksanaan GST sekiranya ia kehendak rakyat, Khalid berkata cukai itu boleh dikenakan selepas pendapatan rakyat dinaikkan.

Beliau berkata, pendapatan masyarakat perlu dipertingkatkan supaya sekiranya GST dilaksanakan adalah dengan cara tidak membebankan rakyat.

“Selama ini kita mengatakan GST tidak wajar dikenakan sehingga masalah taraf pendapatan rakyat dapat dinaikkan. Ini pendirian kita selama ini dan itulah antara prinsip yang kita hadapi termasuk ketika berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Tetapi apabila menjadi kerajaan, kita sentiasa terbuka dan menghormati kehendak rakyat. Maka sekiranya rakyat meminta supaya GST dikenakan, kita akan pertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kesihatan anjuran St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, setiap ahli AMANAH memahami pendirian parti terhadap GST sebelum PRU14 lagi.

Menurutnya, GST sememangnya satu bentuk cukai ke atas setiap penggunaan, namun ia tidak mengenal miskin atau kaya.

“Siapa belanja dia yang bayar. Jadi apabila ia tidak mengenal (golongan) miskin kaya maka kalau pendapatan rakyat terlalu rendah seperti kita hadapi sekarang ini maka GST akan menimbulkan masalah.

“Ada benda sama yang orang miskin beli dan orang kaya pun beli, dalam keadaan itu GST adalah tidak wajar. Tetapi kalau pendapatan rakyat dapat kita tingkatkan maka untuk mencukai mereka atas perbelanjaan maka ianya wajarlah dikenakan,” katanya.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015, namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 8:53 PM