GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Lela Zulkipli


KERAJAAN negeri dijangka dapat mengurangkan perbelanjaan lebih 50 peratus hasil daripada Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac depan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, dengan pelaksanaan itu, kerajaan negeri mensasarkan pengurangan kos yang selama ini ditanggung negeri itu.

“Kita akan mengurangkan belanja hampir 50 peratus atau lebih 50 peratus, sekarang ini kosnya dekat RM200 juta.

“Dengan sasaran awal dan InsyaAllah kita akan dapat kurangkan kosnya sehingga RM100 juta dengan pelaksanaan Skim Pemberian Air Percuma ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) bertempat di Shah Alam hari ini.

Minggu lalu, Amirudin mengumumkan hanya penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah layak menikmati Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac 2020.

Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan supaya penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma pada 23 November lalu bagi mencapai matlamat sebenar meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan dan layak.

Amirudin berkata, keputusan itu diambil di atas faktor peningkatan jumlah penduduk yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan dibelanjakan bagi menampung subsidi bantuan terbabit.

“Selepas penjajaran semula, bantuan hanya disasarkan kepada golongan memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

“Penjajaran ini perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan.

“Bagi menjamin perbelanjaan berkualiti, penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:58 PM